Cute & Adorable Stuffs ♥

Saturday 13 October 2012

Keizinan Isteri amat perlu untuk berpoligami . Mengapa ?

Views
Mengapa keizinan seorang isteri amat dititikberatkan dalam sebuah perkahwinan ? 

Assalamualaikum semua . Kali ini kita berkongsi artikel mengenai Izin seorang isteri amat perlu untuk kebahagiaan berpoligami .

Kepentingan Izin Isteri untuk Mencapai Tujuan Perkahwinan Barakah
            Mari kita perhatikan, apakah rasional pentingnya suami meminta kerelaan isteri sebelum berpoligami. Sebelum itu, diingatkan sekali lagi, isunya di sini bukan sah atau tidak sah berpoligami tanpa kerelaan isteri, tetapi penting atau tidak penting kerelaan isteri:
1.      Meminta kerelaan isteri adalah suatu sikap mulia dengan mengambil prinsip umum kepentingan berbincang atau bermesyuarat dalam kepimpinan.
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ (38)
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan berbincanglah dalam urusan antara mereka.” (Surah Syura: 38)
Suami adalah pemimpin di dalam rumah tangga. Sebelum sesuatu keputusan besar dibuat di dalam keluarga, amat penting baginya berbincang dan bermesyuarat sesama ahli keluarga. Barulah dia dikira pemimpin yang bertanggung jawab dan amanah. Bukankah isu poligami adalah isu yang sangat besar dalam sesebuah keluarga? Melaksanakannya tanpa berbincang, adakah akan membawa bahagia? Atau bakal mencipta neraka dunia?
2.      Tanpa kerelaan isteri, ia menghancurkan hati isteri dengan penipuan dan menyembunyikan pernikahan, bertentangan dengan konsep al-mu’aasyarah bil-ma’ruuf (memperlakukan isteri dengan baik), seperti yang diingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Nisaa`: ayat 19.
3.      Islam mengiktiraf perasaan kewanitaan dan ianya menyejukkan jiwa wanita. Pengiktirafan ini mengukuhkan institusi kekeluargaan. Suami yang meminta kerelaan isterinya dikira mengiktiraf perasaan isterinya itu.
Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَدِيٍّ الْكِنْدِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَشِيرُوا عَلَى النِّسَاءِ فِي أَنْفُسِهِنَّ
Maksudnya:
Daripada ‘Adiy ibn ‘Adiy Al-Kindi daripada bapanya: Rasulullah SAW bersabda: “Berbincanglah dengan wanita tentang diri mereka sendiri.”
Jadi, wajarkah seorang suami langsung tidak mengambil pandangan isterinya sebelum berpoligami? Urusan poligami bukan urusan suami seorang bahkan melibatkan urusan isteri dan anak-anak. Maka, suara isteri wajar diperbincangkan bersama secara syura. Suami tidak boleh berlagak diktator kerana keputusan untuk berpoligami melibatkan hak orang lain. Jika hak itu dizaplimi tanpa izin, ia berpengaruh pada syurga dan nerakanya.
4.      Betapa Rasulullah SAW amat menghargai isteri, baginda berpesan kepada kaum suami apabila tergoda dengan wanita lain, segeralah menggauli isteri di rumah. Baginda tidak pernah berpesan agar segera menikahi wanita itu dan menduakan isteri kerana baginda menunjukkan contoh bernikah lagi bukan kerana nafsu tetapi kerana kepentingan agama.
Lelaki yang tertawan dengan seorang wanita dan bercinta secara haram di belakang isterinya kemudian berkahwin lagi tanpa kerelaan isteri, jelas perkahwinannya bukan kerana kepentingan agama tetapi kerana dorongan nafsu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda.“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” (Riwayat Muslim).
5.      Bagaimana Fatimah al-Zahra mengetahui hasrat suaminya ingin berpoligami jika suaminya tidak berbincang dengannya? Jelas, Saidina Ali menghargai kerelaan isterinya dalam urusan ini dengan berbincang.
6.      Kenapa menantu-menantu Rasulullah yang lain seperti Saidina Usman dan Abul Ash Laqith bin Ar-Rabi’ tidak berpoligami? Mereka mengetahui Rasulullah tidak rela puteri-puterinya dimadukan. Jelas, Saidina Usman dan Abul Ash meraikan dan menghormati hati dan keizinan isterinya dalam urusan ini yang disampaikan oleh ayahnya sejak awal pernikahan.
7.      Seandainya isteri tidak merelakan, ia akan mengakibatkan pertengkaran dan pergaduhan besar. Biasanya sukar dimaafkan dan dilupakan selama-lamanya kerana isteri sudah hilang kepercayaan kepada suami. Sekaligus meruntuhkan tujuan perkahwinan untuk membina mawaddah, warahmah wasakinah.
8.      Seandainya perbincangan dengan isteri berlaku, ia akan membawa natijah sama ada isteri merelakan atau suami perlu memberi hak isteri sekiranya dia mempertahankan monogaminya di mahkamah atau minta dibebaskan dengan cara yang baik. Ia dapat mengelakkan pergaduhan besar dengan memberikan hak semua pihak.
9.      Kerelaan isteri pertama lebih memberi ketenangan hati kepada banyak pihak termasuk suami, isteri, anak-anak dan keluarga. Realiti membuktikan bahawa poligami tanpa izin isteri selalunya sukar dan poligami dengan izin isteri selalunya sejahtera.
10.  Kerelaan isteri pertama dapat mengelakkan isteri kedua dan seterusnya sering berada dalam derita apabila suami bersikap lepas tangan. Manakala pembelaan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawab dengan adil tidak ada kerana dia tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal suaminya daripada melakukan ketidak adilan.  Janji-janji suami akan berkubur begitu sahaja kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul dengan meminta kerelaan isteri pertama terlebih dahulu, maka suami boleh mengabaikan janjinya sewenang-wenangnya.
11.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah isteri pertama dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).
12.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinannya dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.




No comments :

Post a Comment

Kekasih Hati Cik Jasmine ♥